Virtual Exhibition New Breath Of Trade During Pandemics | Office of the Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)
» ARTICLE » Virtual Exhibition New Breath of Trade During Pandemics

Virtual Exhibition New Breath of Trade During Pandemics

Impak COVID -19 telah menyebabkan pelbagai industri terkesan termasuk penurunan penganjuran pameran atau tradeshow  secara fizikal yang banyak diadakan sebelum ini terutamanya di sekitar Lembah Klang. Keupayaan sektor ICT dan kemajuan IR4.0 telah mewujudkan penganjuran tradeshow  secara maya yang dilihat dapat memberikan ruang baharu kepada pemain industri untuk kembali aktif di dalam industri ini.

 

Mengikut statistik tahun 2019 oleh International Congress and Convention Association (ICCA), Kuala Lumpur berada di rangking 22 dunia berbanding 475 bandar utama dunia dengan merekodkan 91 penganjuran program industri termasuk tradeshow  yang dijalankan.

 

Pameran atau tradeshow  telah menjadi platform kepada sektor industri swasta dan kerajaan bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka bagi mendapatkan jaringan industri dan peluang perniagaan baharu menerusi pelawat industri yang hadir.

 

Tradeshow  dianjurkan di lokasi tumpuan utama para pelabur di sekitar Lembah Kelang seperti Kuala Lumpur Convention Center (KLCC), Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), World Trade Center KL (dahulunya PWTC), Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan lain –lain turut memberi kesan kepada pelbagai sektor industri.

 

Platform ini telah memberi impak ekonomi yang besar serta membawa peluang pelaburan baharu bernilai berbillion ringgit setiap tahun kepada pemain industri yang terlibat. Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) misalnya mampu menyumbang pendapatan melebihi RM9 billion kepada ekonomi negara dengan penganjuran program seperti tradeshow  bermula pada tahun 2005 sehingga 2019.

 

Pelbagai industri terlibat turut menerima kesan buruk setiap kali pembatalan penganjuran sesuatu tradeshow  seperti syarikat pengurusan majlis, kontraktor booth, lokasi, logistik, dan makanan yang juga melibatkan syarikat kecil dan sederhana (SME).

 

Universiti dan agensi penyelidikan kerajaan turut terkesan yang mana menggunakan tradeshow  sebagai salah satu medium pemasaran utama dalam memperkenalkan hasil teknologi baharu mahupun mengadakan jaringan industri bagi memastikan inovasi dapat dikomersilkan dengan kolaborasi pihak industri.

 

Kebimbangan terhadap penularan jangkitan COVID yang masih tinggi dan Perintah Kawalan Pergerakan telah memaksa kebanyakan  tradeshow  ditangguhkan atau dibatalkan pengganjurannya bagi tahun suram ini. 

 

Namun, dengan kelebihan teknologi digital telah mewujudkan ruang bagi peralihan pameran atau tradeshow  secara maya yang mula dilaksanakan pada bulan Oktober 2020 dilihat dapat memberi nafas baharu kepada pihak industri untuk meningkatkan semula momentum pemasaran perniagaan masing –masing.

 

Beberapa tradeshow utama tahunan seperti International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM), AsiaWater, Asean Super 8, Metaltech & Automex, serta Electronic Manufacturing Asia telah mula beralih menggunakan platform maya bagi meneruskan tradeshow  tahun 2020 sementara kebanyakan  tradeshow  utama lain seperti MIHAS, MAHA, dan Halfest masih lagi ditangguhkan ke tahun hadapan.

 

Kemunculan inisiatif baharu ini telah berjaya membawa booth pameran ke alam maya dengan lebih interaktif, sebagai contoh pameran Virtual IGEM anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air yang merupakan tradeshow  teknologi hijau terbesar di Malaysia masih mampu mendapatkan 161 agensi untuk menyertai IGEM 2020 berbanding 230 agensi pempamer pada tahun 2019.

 

Walaupun begitu, pempamer serta pelawat masih lagi janggal dengan pelaksanaan tradeshow  dalam talian dan berbeza mengikut platform penganjur yang cuba menjadikan booth pameran ke alam maya. Dapat dilihat beberapa tradeshow lain mendapat penyertaan pempamer yang rendah dan terdapat juga yang hanya memaparkan tradeshow  seperti laman web biasa sahaja serta kurang interaktif dalam menarik pelawat.

 

Beberapa faktor dapat disimpulkan dengan kurangnya penyertaan pempamer industri dan pelawat disebabkan kurangnya promosi tradeshow  yang diadakan, tempoh pelaksanaan yang dirancang dalam masa singkat serta ketidaksediaan pempamer industri sendiri sewaktu berdepan dengan situasi pandemik yang tidak menentu.

 

Ketiadaan promosi tambahan daripada platform lokasi penganjur seperti KLCC, MITEC dan WTC turut memberi kesan maklumat penganjuran tradeshow  yang tidak sampai ke pengetahuan pelawat.

 

Bagi mengatasi isu ni, kekuatan promosi di media sosial amat membantu dan peranan agensi seperti Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dilihat dapat membantu pihak industri mempromosikan lagi penganjuran tradeshow  secara maya ini selain daripada laman web yang menyenaraikan penganjuran tradeshow di dalam dan luar negara.

 

Sungguhpun begitu, penganjuran tradeshow  secara maya tetap memberikan beberapa kelebihan kepada pempamer dan pelawat dengan tempoh masa pameran yang lebih panjang sehingga mencapai 3 bulan, lebih banyak produk/bahan pameran yang dapat dimuatnaik dan kos penyertaan tradeshow  yang jauh lebih murah ditawarkan oleh penganjur.

 

Pelawat industri dan awam pula lebih mudah untuk menyertai tradeshow  sebegini yang dapat dicapai 24 jam selain pelbagai sesi webinar yang turut ditawarkan kebanyakan nya secara percuma.

 

Pelaksanaan pameran secara maya juga membuka ruang baharu bagi pelawat industri meluaskan jaringan industri di negara serantau apabila platform maya ini turut dianjurkan di Singapura, Indonesia serta potensi peluang perniagaan baharu dapat diperluaskan di sekitar Asia Tenggara.

 

Diharapkan pihak syarikat terutamanya SME mahupun pusat pemindahan teknologi universiti dan agensi penyelidikan dapat mengambil peluang kaedah pemasaran secara maya ini dengan lebih giat lagi bersesuaian dengan kelebihannya yang mana berkemungkinan akan berlanjutan sehingga ke tahun hadapan.

 

Bagi pelawat awam yang biasanya menantikan kehadiran pameran tradeshow  seperti MAHA atau Halfest pula, di harap dapat bersabar untuk menantikan penganjurannya pada tahun hadapan dan yang pastinya berserta dengan SOP baharu yang akan dikuatkuasakan nanti.

 

Petikan Berita Harian 19 Dis 2020

Oleh Asrizam Esam
Pegawai Penyelidik
Putra Science Park UPM
Emel: asrizam@upm.edu.my

 

Date of Input: 04/01/2021 | Updated: 04/01/2021 | asrizam

MEDIA SHARING

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1002
-
W1UJXXAf:23:25