UPM Jalin Kerjasama Strategik Dengan 26 Universiti Lain, Kukuh Agenda Pertanian Tropika Di Rantau Asia. | PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN & INOVASI)
» BERITA » UPM Jalin Kerjasama Strategik dengan 26 Universiti lain, Kukuh Agenda Pertanian Tropika di Rantau Asia.

UPM Jalin Kerjasama Strategik dengan 26 Universiti lain, Kukuh Agenda Pertanian Tropika di Rantau Asia.

9 Ogos 2023 - Universiti Putra Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman di antara UPM bersama Universitas Brawijaya dan 26 institut pengajian tinggi yang lain dari serata dunia bagi membentuk satu kerjasama strategik dalam mengangkat agenda pertanian tropika di rantau ini.
 
 
University Network for Tropical Agriculture (UNTA) merupakan gabungan beberapa universiti terkemuka lain di rantau ini antaranya Bogor Agricultural university, Maejo University, MingDao University, National Pingtung University, Weihenstephan - Triesdorf University of Applied Sciences dan dipengerusikan oleh Prof. Dr-Ing. Chin Lung Lang dari National Pingtung University of Science and Technology, Taiwan.
 
YBhg. Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UPM, hadir ke Universitas Brawijaya, Indonesia selama tiga hari bermula pada 7 Ogos 2023 sehingga 10 Ogos 2023 bagi mewakili YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Bin Sulaiman, Naib Canselor UPM untuk menghadiri satu majlis Menandatangani MoU bagi memperkasakan pertubuhan ini dan memeterai perjanjian persefahaman yang bertujuan untuk menjadikan UPM sebagai ahli dalam gabungan UNTA melibatkan 26 universiti lain.
 
Memorandum persefahaman ini merupakan suatu usaha sama strategik susulan lawatan delegasi wakil UPM yang melibatkan YBhg. Prof. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Pengarah ITAFoS dan Pengarah INTROP ke Chiang Mai, Thailand pada tahun lalu yang telah membentuk hubungan rangkaian strategik di antara UPM dengan semua gabungan institusi dalam suatu gabungan yang dikenali sebagai University Network for Tropical Agriculture (UNTA) bagi memperkukuhkan aktiviti jaringan industri, kerjasama dalam penyelidikan dan pembelajaran, serta pertukaran pelajar.
 
 
Menurut YBhg. Prof. Dr. Nazamid Saari, gabungan ini adalah platform terbaik untuk penyelidik di Malaysia berbincang berkenaan hasil penyelidikan dan bertukar idea baru dengan penyelidik-penyelidik dari negara lain.
Melalui MoU ini, kolaborasi untuk membentuk kelestarian dan memperkukuhkan hubungan strategik di antara UPM dengan negara luar khususnya bagi memberi kesan signifikan kepada agenda pertanian tropika melibatkan bidang penyelidikan, penerbitan, perkhidmatan profesional serta pelbagai program lain di peringkat antarabangsa dapat terus dipertingkatkan.
 
 
Majlis menandatangani MoU ini merupakan salah satu aktiviti di bawah penganjuran Seminar The 2023 UNTA Annual Assembly - “Innovation for Sustainable Agriculture Production, Ensuring Climate - Resilient and Digital Agriculture".
“UNTA 2023 dilihat akan terus memacu lebih banyak persefahaman dan minat komersial terhadap sektor pertanian tropika untuk faedah bersama,” katanya lagi.
 
Antara negara yang terlibat dalam persidangan ini ialah Taiwan, Indonesia, Australia, Mongolia, dan India.

Tarikh Input: 16/08/2023 | Kemaskini: 17/08/2023 | aishah

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN & INOVASI)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1002/1293
-
WXFYBAU~