SERDANG, 10 Disember – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam kerjasama membantu mengkaji, merancang dan mengembangkan lembah tenusu di Keningau, Sabah.
UPM mempunyai kepakaran teknikal dalam mengembangkan lembah tenusu melalui Pusat Kecemerlangan Tenusu. UPM juga menjalankan ladang tenusu yang berjaya dan baru-baru ini bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk memperkukuh kapasiti pengeluaran tenusu domestik melalui UPM-Farm Fresh Dairy Farming Industry Centre of Excellence (ICoE).
UPM yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Idrus bersama pakar-pakar UPM, akan memberikan bantuan teknikal kepada kerajaan Sabah dengan menyiapkan kajian kemungkinan untuk lembah tenusu yang dicadangkan di Tambunan.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Jabatan Veterinar Sabah (DVS) Dr. Peter Lee dan Pengarah Institut Pertanian dan Kajian Dasar Makanan UPM Dr. Shaufique Fahmi Ahmad Sidique.
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan turut membuat kunjungan hormat kepada Naib Canselor UPM Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan sempat beramah mesra dengan Pengerusi LPU dan ahli-ahli JPU UPM.
Tarikh Input: 22/12/2020 | Kemaskini: 24/12/2020 | salehaharon