Jawatankuasa Institusi Biokeselamatan Dan Biosekuriti Universiti Putra Malaysia (IBBC UPM) | Office of the Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)
» RESEARCH » Jawatankuasa Institusi Biokeselamatan dan Biosekuriti Universiti Putra Malaysia (IBBC UPM)

Jawatankuasa Institusi Biokeselamatan dan Biosekuriti Universiti Putra Malaysia (IBBC UPM)

Sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang unggul, UPM melaksanakan pelbagai jenis aktiviti berkaitan dengan pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan yang menggunakan mikroorganisma dari persekitaran, tumbuhan, haiwan dan manusia. Mikroorganisma seumpama ini termasuklah virus, bakteria dan fungi yang di kendali secara semula jadi yang bukan diubah suai secara genetik (non-genetically modified organisma, non-GMO) dan organisma yang diubah suai secara genetik (genetically modified organisma, GMO). Pengendalian mikroorganisma ini dilaksanakan di makmal, rumah haiwan, rumah kaca dan lapangan yang mempunyai peraturan dan kelengkapan yang mencukupi agar mikroorganisma ini di kendali dengan cara yang betul dan selamat. Makmal dan fasiliti di UPM mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan dikelaskan sama ada memenuhi keperluan biokeselamatan sepertimana yang dinyatakan dalam manual yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (WHO Risk Groups 1, 2, 3 and 4).

 

Universiti Putra Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan (Institutional Biosafety Committee, IBC) mengikut peruntukan yang dinyatakan dalam Akta Biokeselamatan 2007 (Biosafety Act 2007) sertakan keperluan yang dinyatakan oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (National Biosafety Board, NBB) dan Lembaga Penasihat Pengubahsuaian Genetik (Genetic Modification Advisory Board, GMAC), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), yang sekarang ini dikenali sebagai Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).  Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan (IBC) UPM telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2010 dan pada masa ini mempunyai 10 orang ahli yang terdiri daripada pensyarah/pakar dalam penyelidikan organisma hidup yang diubah suai (living modified organism, LMO) serta organisma GMO dari beberapa fakulti/Institut. Selain itu, IBC juga dianggotai oleh seorang pegawai biokeselamatan (Biosafety Officer, BSO) yang berfungsi sebagai urus setia.

 

Pada masa ini IBC UPM diletak di bawah unit biokeselamatan yang merupakan satu entiti di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Universiti UPM (JKKP-UPM) yang dipengerusikan oleh Naib Canselor. Fungsi IBC adalah untuk memantau semua aktiviti yang melibatkan penggunaan LMO, GMO dan DNA rekombinan (recombinant DNA, rDNA) dan laporannya dimajukan kepada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (NBB), KASA seperti yang termaktub dalam Akta Biokeselamatan 2007. Sejak penubuhan IBC pada tahun 2010, sebanyak 54 projek penyelidikan yang melibatkan LMO/GMO/rDNA telah pun didaftar dan dimaklumkan kepada NBB, KASA. Bilangan ini dijangka akan terus meningkat ekoran kesedaran yang meningkat dalam kalangan penyelidik UPM.

 

Selain dari mikroorganism GMO, mikroorganisma non GMO yang wujud secara semulajadi boleh mengakibatkan ancaman kepada persekitaran, tumbuhan, haiwan dan manusia. Malah mikroorganisma ini yang patogenik boleh menjejaskan kesihatan perumah, persekitaran dan seterusnya boleh menjejaskan sumber asli dan pendapatan negara. Badan persatuan dunia seperti WHO telah membangunkan International Health Regulations (IHR) (2005) yang bertujuan untuk mencegah, mengawal dan menyediakan respons ke atas penyebaran penyakit di peringkat global yang mencukupi agar dapat mengurangkan risiko kesihatan awam. Bagi menyahut keperluan ini, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) telah membangunkan Garis Panduan dan Dasar Biokeselamatan dan Biosekuriti bagi Laboratori di Malaysia (Malaysian Laboratory Biosafety and Biosecurity Policy and Guideline). Pembangunan dokumen ini adalah sejajar dengan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan kapasiti laboratori dan makmal yang mencukupi dalam aspek biokeselamatan sebagai mana memenuhi kehendak pemantauan IHR.  Penggunaan mikroorganisma yang mempunyai implikasi kepada aspek biokeselamatan dan biosekuriti bukan tertumpu kepada mikroorganisma yang menyebabkan penyakit kepada manusia, tetapi juga mikroorganisma yang mengancam haiwan dan tumbuhan, di mana terdapat pelbagai akta dalam dan luar negara seperti Terrestrial Animal Health Code, Aquatic Code, Plant Quarantine Act 1976,  dan Malaysia Quarantine Inspection Service (Quarantine and Inspection) Regulation 2013, yang menggariskan keperluan pengendalian mikroorganisma ini perlu dipantau.

         

Bagi memastikan amalan terbaik dapat dilaksanakan semasa pengendalian mikroorganisma di samping memenuhi keperluan undang-undang sedia ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Universiti Putra Malaysia telah mula memantau semua aktiviti yang melibatkan pengendalian mikrooganismsa non-GMO dan GMO menerusi penubuhan Jawatankuasa  Keinstitusian Biokeselamatan dan Biosekuriti (Institutional Biosafety and Biosecurity Committee, IBBC). IBBC telah membangunkan dasar dan prosedur yang memantau semua aktiviti yang terlibat semasa mengendalikan, memanipulasi, bekerja, menggunakan, menyimpan dan membuang agen biologi/bahan termasuk GMO, LMO, rDNA dan toksin biologi di kemudahan yang ditentukan dan zon penahanan di UPM. Prosedur ini merangkumi aktiviti di semua jenia makmal yang terlibat dalam pengajaran, penyelidikan, klinikal dan makmal veterinar dan persekitaran. Prosedur ini juga merangkumi penggunaan agen biologi yang digunakan dan bekerja dengan bahan yang mengandungi atau mungkin mengandungi agen biologi.

 

Bagi menjayakan fungsi ini, IBBC akan :

 

  • Mengenalpasti aktiviti yang berada di bawah bidang kuasa IBBC.
  • Menyemak dan meluluskan semua permohonan yang berkaitan dengan aktiviti yang melibatkan penggunaan agen/bahan berjangkit dan berpotensi berjangkit, GMO, LMO, rDNA dan toksin biologi dalam fasiliti dan zon penahanan yang ditentukan.
  • Memastikan bahawa semua aktiviti yang melibatkan penggunaan agen/bahan berjangkit dan berpotensi berjangkit, GMO, LMO, rDNA dan racun biologi dijalankan sesuai dengan semua keperluan dan garis panduan yang ditetapkan.
  • Mematuhi terhadap dasar, undang-undang, peraturan dan garis panduan antarabangsa dan kebangsaan yang terkini yang berkaitan dengan biokeselamatan dan biosekuriti.

 

 

 Sila Hubungi:

 En. Mohd Azman bin Ahmad
 Pegawai Sains       
 Tel   : +603-9769 1653
 Emel: mohdazman@upm.edu.my

 Cik Siti Zubaidah binti Redzun
 Pembantu Penyelidik      
 Tel   : +603-9769 1605
 Emel: zubaidahredzun@gmail.com

Updated:: 28/09/2020 [salehaharon]

MEDIA SHARING

BVMbGHh:06:07