UPM Dan Kyutech Bangun Kampus Setelit Di Serdang | PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN & INOVASI)
» BERITA » UPM dan Kyutech bangun kampus setelit di Serdang

UPM dan Kyutech bangun kampus setelit di Serdang


SERDANG, 8 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kyushu Institute of
Technology, Jepun (Kyutech) memeterai kerjasama menubuhkan kampus setelit atau
Malaysia Super Satellite Campus (MSSM) di UPM.

Penubuhan kampus luar Jepun yang pertama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara
itu menjadi simbol ikatan dua negara dalam bidang pendidikan dan
penyelidikan.

Presiden Kyutech, Dr. Morio Matsunaga berkata kampus setelit itu bukan sahaja
menjadi simbol persahabatan dua negara malah merupakan tanda keyakinan Malaysia
terhadap teknologi dan budaya kerja Jepun.

“Pemilihan UPM bertepatan
dengan hasrat Kyutech untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan
dengan Malaysia dan juga negara serantau yang lain.

“Saya harap kerjasama ini dapat melahirkan generasi baru jurutera kedua-dua
negara yang tinggi kemahiran kejuruteraan dan inovasi yang menyumbang kepada
kemajuan negara masing-masing,” katanya selepas menandatangani memorandum
persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di sini pada 21 Februari
lepas.

MoU UPM-KYUTECH ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd
Fauzi Ramlan dan Presiden Kyutech, Dr. Morio Matsunaga dan disaksikan oleh
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan  Duta Besar Jepun
ke Malaysia Shigeru Nakamura.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Prof. Dr.
Mohd Ali Hassan berkata kerjasama itu melibatkan pertukaran pelajar dan staf,
kolaborasi projek penyelidikan, pertukaran penerbitan, laporan dan maklumat
akademik dan kerjasama pembangunan profesional.

“Penubuhan MSSM adalah hasil perjanjian kerjasama berbentuk pendidikan dan
penyelidikan yang menawarkan program ijazah berkembar UPM-KYUTECH.

“Pelajar yang mengikuti program ini akan melaksanakan pengajian mereka di UPM
dan di Kyutech, Jepun. Fasa pertama pengajian melibatkan pelajar UPM bermula
April ini di sini (UPM) dan akan disambung di Kyutech, Jepun pada bulan
September tahun ini.

“Pelajar juga akan mendapat dua sijil, satu daripada UPM dan satu daripada
Kyutech. Keutamaan diberikan kepada pelajar bidang kejuruteraan, sains
komputer, perubatan dan juga bioteknologi,” katanya.

Kerjasama pertama kedua-dua institut itu diterajui oleh Fakulti Bioteknologi
dan Sains Biomolekul  bermula pada 4 Februari 2002 bagi membangunkan projek
sistem zero-discharge di kilang-kilang sawit di Sandakan dan di sekitar
Sungai Kinabatangan.

Projek berkonsepkan teknologi hijau di Sandakan itu bertujuan untuk
memperbaiki sistem pelupusan sisa pepejal kelapa sawit daripada toksik kepada
sisa organik selamat bagi mewujudkan kualiti udara yang bersih dan bebas
pencemaran. Projek itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu biogas (tenaga
elektrik), biodiesel (bahan bakar), biokompos (baja) dan biochar. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN & INOVASI)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1002/1293
-
SXDdWAa~